KEMBARA MEALS BERSAMA JEMAAH HAJI JOHOR 2026

YANG DI-PERTUAN AGONG MENITIPKAN DOA KEPADA 500 JEMAAH HAJI ROMBONGAN JOHOR 2026

KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan menitipkan doa buat 500 bakal jemaah haji rombongan Kerajaan Johor yang akan berlepas ke Tanah Suci bagi ibadah Haji Tahun 1447H/2026M agar dikurniakan keselamatan, kesihatan yang baik serta memperoleh haji yang mabrur.

Seri Paduka Baginda turut berkenan menitipkan pesanan khusus agar para jemaah sentiasa mengekalkan disiplin yang tinggi serta mematuhi segala arahan pihak berkuasa sepanjang berada di Tanah Suci.

“Diharap kepada para jemaah haji, supaya sentiasa menjaga disiplin dan mematuhi setiap arahan pihak berkuasa. Dalam kita menunaikan ibadah, keselamatan diri juga adalah satu amanah. Sentiasa peka dengan keadaan sekeliling,” titah Seri Paduka Baginda kepada Royal Press Office.

Seri Paduka Baginda pada hari ini (21 April), turut berkenan mengurniakan sumbangan pek makanan menerusi Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) kepada jemaah haji Kerajaan Johor.

Sumbangan disampaikan Mohd Anizam Jamian, Ketua Pegawai Eksekutif YSIJ kepada YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor sebelum diserahkan kepada Fizwan Dato’ Rashidi, Ketua Rombongan Haji Rombongan Kerajaan Johor pada tahun ini.

Serahan dilakukan di Majlis Perjumpaan Menteri Besar Johor Bersama Bakal-Bakal Haji Rombongan Kerajaan Negeri Johor yang berlangsung di Dewan Kenanga Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB).

#YDPAgong

#AllahPeliharakanSultan

#IstanaNegara